Segala puji dan puja untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang . Dia yang mengumpul segala pengetahuan di dalam Zat-Nya dan Dia
jualah Pencipta segala pengetahuan dengan keabadian. Segala kewujudan
bersumberkan Wujud-Nya. Segala puji bagi Allah lantaran Dia menghantarkan
Quran yang mulia yang mengandungi di dalamnya sebab-sebab ia diturunkan iaitu
untuk memperingatkan manusia tentang Allah. Dihantarkan-Nya kepada pembimbing
yang memandu manusia pada jalan yang benar dengan yang paling Perkasa di antara
agama-agama. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang tidak diajar
oleh makhluk tetapi diajar oleh-Nya sendiri. Baginda s.a.w adalah nabi-Nya yang
terakhir, penyambung terakhir pada rantaian kenabian yang diutus kepada dunia
yang sedang hanyut di dalam huru hara, yang paling mulia di kalangan
nabi-nabi-Nya, dimuliakan dengan kitab suci yang paling suci dan paling mulia.
Keturunan baginda s.a.w adalah pembimbing bagi orang-orang yang mencari.
Sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah pilihan dari kalangan orang yang baik-baik
dan murah hati. Semoga kesejahteraan dan keberkatan yang melimpah-limpah
dikurniakan kepada ruh-ruh mereka.
Tentu sekali yang paling berharga di antara yang
berharga, paling tinggi, permata yang tidak ternilai, barang perniagaan yang
paling menguntungkan manusia, adalah ilmu pengetahuan. Hanya dengan hikmah
kebijaksanaan kita boleh mencapai keesaan Allah, Tuhan sekalian alam. Hanya
dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mengikuti rasul-rasul-Nya dan
nabi-nabi-Nya. Orang yang berpengetahuan, yang bijaksana, adalah hamba-hamba
Allah yang tulen yang Dia pilih untuk menerima perutusan Ilahi. Dia lebihkan
mereka daripada yang lain semata-mata dengan kebaikan rahmat-Nya yang Dia
curahkan kepada mereka. Mereka adalah pewaris nabi-nabi, pembantu-pembantu
mereka, yang dipilih oleh rasul-rasul-Nya untuk menjadi khalifah kepada
sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan nabi-nabi dengan perasaan yang amat
seni dan kebijaksanaan yang sangat tinggi.
Allah Yang Maha Tinggi memuji orang-orang yang memiliki
hikmah kebijaksanaan: “Kemudian Kami wariskan Kitab itu kepada mereka yang
Kami pilih daripada hamba-hamba Kami, tetapi sebahagian daripada mereka
menganiayai diri mereka sendiri, dan sebahagian daripada mereka cermat, dan
sebahagian daripada mereka ke hadapan dalam kebajikan-kebajikan dengan izin
Allah, yang demikian adalah kurniaan yang besar”. ( Surah Fatir, ayat 32).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Pemegang hikmah
kebijaksanaan adalah pewaris nabi-nabi. Penduduk langit mengasihi mereka dan di
atas muka bumi ini ikan-ikan di laut bertasbih untuk mereka hingga kepada hari
kiamat”.
Dalam ayat lain Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Tidak
takut kepada Allah daripada hamba-hamba-Nya melainkan orang-orang yang berilmu
Pengetahuan” (Surah Fatir, ayat 28).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Pada hari pembalasan,
Allah akan mengumpulkan sekalian manusia, kemudian mengasingkan yang berilmu di
antara mereka dan berkata kepada mereka: ‘Wahai orang-orang yang berilmu. Aku kurniakan
kepada kamu ilmu-Ku kerana Aku mengenali kamu. Tidak aku kurniakan hikmah
kebijaksanaan kepada kamu untuk Aku hukumkan kamu pada hari ini. Masuklah ke
dalam syurga-syurga-Ku. Aku telah ampunkan kamu' ”.
Segala puji milik Allah, Tuhan sekalian alam lantaran Dia
kurniakan makam yang tinggi kepada hamba-hamba-Nya yang taat dan memelihara
mereka daripada dosa dan menyelamatkan mereka daripada diseksa. Dia berkati
ahlul hikmah dengan menghampiri mereka.
Sebahagian daripada murid-murid kami meminta supaya kami
sediakan sebuah buku yang memadai buat mereka. Sesuai dengan permintaan dan
keperluan mereka kami siapkan buku yang ringkas ini Semoga ia dapat mengubati
dan memuaskan mereka serta yang lain juga. Kami namakan buku ini “ Sirr
al-asrar fi ma yahtaju Ilahi al-abrar ” atau “rahasia dalam
rahasia-rahasia yang Kebenarannya sangat diperlukan”. Dalam pekerjaan ini
kenyataan di dalam kepercayaan dan perjalanan kami dibukakan. Setiap orang
memerlukannya.
Dalam menyampaikan hasil kerja ini kami bahagikannya
kepada 24 bab kerana terdapat 24 huruf di dalam pengakuan suci “Laa ilaha
illallah, Muhammadun rasulullah” dan juga terdapat 24 jam dalam satu hari.
Posting Komentar
Posting Komentar