SAYYIDI SYEIKH ABDUL QODIR ALJAELANI QS. |
KITAB SIRRUR ASROR -Puasa syariat adalah menahan
diri daripada makan, minum dan bersetubuh daripada terbit fajar hinggalah
terbenam matahari . Puasa
BATIN selain yang demikian ditambah lagi memelihara
pancaindera dan fikiran daripada perkara-perkara yang keji. Ia adalah melepaskan
segala yang tidak sesuai, zahir dan batin. Rosak sedikit sahaja niat
mengenainya rosaklah puasa rohani. Puasa syariat terikat dengan masa sementara
puasa rohani pula berkekalan di dalam kehidupan sementara ini dan kehidupan
abadi di akhirat. Inilah puasa yang sebenar.
Nabi
s.a.w bersabda, “Ramai orang yang berpuasa tidak
mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga”.Puasa
syariat ada waktu berbuka tetapi puasa rohani berjalan terus walaupun matahari
sudah terbenam, walaupun mulut sudah merasakan makanan. Mereka adalah yang
menjaga pancaindera dan pemikiran bebas daripada kejahatan dan yang menyakitkan
orang lain.
Untuk itu Allah telah berjanji, “Puasa adalah amalan untuk-Ku dan
Aku yang membalasnya” .
Mengenai dua jenis puasa itu Nabi s.a.w bersabda, “Orang
yang berpuasa mendapat dua kesukaan. Pertama bila dia berbuka dan kedua bila
dia melihat” .
Orang yang mengenali zahir agama mengatakan kesukaan yang pertama itu ialah
kesukaan ketika berbuka puasa dan ‘kesukaan apabila mereka melihat' itu ialah
melihat awal bulan Syawal menandakan hari raya.
Orang yang mengetahui makna
batin bagi puasa mengatakan kesukaan berbuka puasa ialah apabila seseorang yang
beriman itu masuk syurga dan menikmati balasan di dalamnya, dan kesukaan yang
lebih lagi ialah ‘apabila melihat', yang bermaksud apabila orang yang beriman
melihat Allah dengan mata rahsia bagi hati.
Lebih
berharga daripada dua jenis puasa itu ialah puasa yang sebenarnya ( puasa
hakikat ), iaitu
mengelakkan hati daripada menyembah sesuatu yang lain dari Zat Allah . Ia dilakukan dengan mata hati
buta terhadap semua kewujudan, walaupun di dalam alam rahsia di luar daripada
alam dunia ini, melainkan kecintaan kepada Allah, kerana walaupun Allah
menjadikan segala-galanya untuk manusia, Dia jadikan manusia untuk-Nya, dan Dia
berfirman: “Insan adalah rahsia-Ku dan Aku
rahsianya” . Rahasia
itu ialah cahaya daripada cahaya Allah Yang Maha Suci. Ia adalah pusat atau
jantung hati, dijadikan daripada sejenis jisim yang amat seni. Ia adalah roh
yang mengetahui segala rahsia-rahsia yang hak. Ia adalah hubungan rahsia di
antara yang dicipta dengan Pencipta. Rahsia itu tidak cenderung dan tidak
mencintai sesuatu yang lain daripada Allah.
Tidak
ada yang berharga untuk diingini, tiada yang dikasihi di dalam dunia ini dan di
akhirat, melainkan Allah. Jika satu zarah sahaja daripada sesuatu memasuki hati
selain kecintaan kepada Allah, maka batallah puasa hakikat. Seseorang perlu
memperbaharuinya, menghadapkan segala kehendak dan niat kembali kepada
kecintaan-Nya, di sini dan di akhirat.
Firman Allah, “Puasa
adalah untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya”.
Posting Komentar
Posting Komentar