Oleh Yefi
Mieftah
Tempat Roh-Roh
Dalam Badan
Syeikh Abdul
Qadir al-Jaelani Qs
Tempat roh
manusia, roh kehidupan, di dalam badan ialah dada. Tempat ini berhubung dengan
pancaindera dan deria-deria. Urusan atau bidangnya ialah agama. Pekerjaannya
ialah mentaati perintah Alloh. Dengan peraturan-peraturan yang ditentukan-Nya,
Alloh memelihara dunia nyata ini dengan teratur dan harmoni. Roh itu bertindak
menurut kewajipan yang ditentukan oleh Alloh, tidak menganggap perbuatannya
sebagai perbuatannya sendiri kerana dia tidak berpisah dengan Alloh.
Perbuatannya daripada Alloh; tidak ada perpisahan di antara ‘aku’ dengan Alloh
di dalam tindakan dan ketaatannya.“Barangsiapa percaya akan pertemuan Tuhannya
hendaklah mengerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan sesuatu dalam
ibadat kepada Tuhannya”. (Surah Kahfi, ayat 110).
Alloh adalah esa
dan Dia mencintai yang bersatu dan satu. Dia mahu semua penyembahan dan semua
amal kebaikan, yang Dia anggap sebagai pengabdian kepada-Nya, menjadi milik-Nya
semata-mata, tidak dikongsikan dengan apa sahaja. Jadi, seseorang tidak memerlukan
kelulusan atau halangan daripada sesiapa pun di dalam pengabdiannya kepada
Tuhannya, juga amalannya bukan untuk kepentingan duniawi. Semuanya semata-mata
kerana Alloh. Suasana yang dihasilkan oleh petunjuk Ilahi seperti menyaksikan
bukit-bukti kewujudan Alloh di dalam alam nyata ini; kenyataan sifat-sifat-Nya,
kesatuan di dalam yang banyak, hakikat di sebalik yang nyata, kehampiran dengan
Pencipta, semuanya adalah ganjaran bagi amalan kebaikan yang benar dan ketaatan
tanpa mementingkan diri sendiri. Namun, semuanya itu di dalam taklukan alam
benda, daripada bumi yang di bawah tapak kaki kita sehinggalah kepada
langit-langit. Termasuk juga di dalam taklukan alam dunia ialah kekeramatan
yang muncul melalui seseorang, misalnya berjalan di atas air, terbang di udara,
berjalan dengan pantas, mendengar suara dan melihat gambaran dari tempat yang
jauh atau boleh membaca fikiran yang tersembunyi. Sebagai ganjaran terhadap
amalan yang baik manusia juga diberikan nikmati di akhirat seperti syurga,
khadam-khadam, bidadari, susu, madu, arak dan lain-lain. Semuanya itu merupakan
nikmati syurga tingkat pertama, syurga dunia.
Tempat ‘roh
perpindahan atau roh peralihan’ ialah di dalam hati. Urusannya ialah
pengetahuan tentang jalan kerohanian. Kerjanya berkait dengan empat nama-nama
pertama bagi nama-nama Alloh yang indah. Sebagaimana dua belas nama-nama yang
lain empat nama tersebut tidak termasuk di dalam sempadan suara dan huruf.
Jadi, ia tidak boleh disebut. Alloh Yang Maha Tinggi berfirman:“Dan bagi Alloh
jualah nama-nama yang baik, jadi serulah Dia dengan nama-nama tersebut”. (Surah
A’raaf, ayat 180).
Firman Alloh di
atas menunjukkan tugas utama manusia adalah mengetahui nama-nama Tuhan. Ini
adalah pengetahuan batin seseorang. Jika mampu memperolehi pengetahuan yang demikian
dia akan sampai kepada makam makrifat. Di samalah pengetahuan tentang nama
keesaan sempurna.
Nabi s.a.w
bersabda, “Alloh Yang Maha Tinggi mempunyai sembilan puluh sembilan nama,
sesiapa mempelajarinya akan masuk syurga”. Baginda s.a.w juga bersabda, “Pengetahuan
adalah satu. Kemudian orang arif jadikannya seribu”. Ini bermakna nama
kepunyaan Zat hanyalah satu. Ia memancar sebagai seribu sifat kepada orang yang
menerimanya.
Dua belas
nama-nama Ilahi berada di dalam lengkungan sumber pengakuan tauhid “La ilaha
illalloh”. Tiap satunya adalah satu daripada dua belas huruf dalam kalimah
tersebut. Allah Yang Maha Tinggi mengurniakan nama masing-masing bagi setiap
huruf di dalam perkembangan hati. Setiap satu daripada empat alam yang dilalui
oleh roh terdapat tiga nama yang berlainan. Allah Yang Maha Tinggi dengan cara
ini memegang erat hati para pencinta-Nya, dalam kasih sayang-Nya. Firman-Nya:“Alloh
tetapkan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap di Penghidupan
dunia dan akhirat”. (Surah Ibrahim, ayat 27).
Kemudian
dikurniakan kepada mereka kehampiran-Nya. Dia sediakan pokok keesaan di dalam
hati mereka, pokok yang akarnya turun kepada tujuh lapis bumi dan Dahannya
meninggi kepada tujuh lapis langit, bahkan meninggi lagi hingga ke arasy dan
mungkin lebih tinggi lagi. Allah berfirman:“Tidakkah engkau perhatikan
bagaimana Alloh adakan misal, satu kalimah yang baik seperti pohon yang baik,
pangkalnya tetap dan cabangnya ke langit. (Surah Ibrahim, ayat 24).
Tempat ‘roh
perpindahan atau roh peralihan’ adalah di dalam nyawa kepada hati. Alam
malaikat berterusan di dalam penyaksiannya. Ia boleh melihat syurga alam
tersebut, penghuninya, cahayanya dan semua malaikat di dalamnya. Kalam ‘roh
peralihan’ adalah bahasa alam batin, tanpa huruf tanpa suara. Perhatiannya
berterusan menyentuh soal-soal rahsia-rahsia maksud yang tersembunyi. Tempatnya
di akhirat apabila kembali ialah syurga Na’im, taman kegembiraan kurniaan
Alloh.
Tempat ‘roh
sultan’ di mana ia memerintah, adalah di tengah-tengah hati, jantung kepada
hati. Urusan roh ini ialah makrifat. Kerjanya ialah mengetahui semua
pengetahuan ke-Tuhan-an yang menjadi perantaraan bagi semua ibadat yang
sebenar-benarnya diucapkan dalam bahasa hati. Nabi s.a.w bersabda, “Ilmu ada
dua bahagian. Satu pada lidah, yang membuktikan kewujudan Alloh. Satu lagi di
dalam hati. Inilah yang perlu bagi menyedarkan tujuan seseorang”. Ilmu yang
sebenar-benarnya bermanfaat berada di dalam sempadan kegiatan hati. Nabi s.a.w
bersabda, “Quran yang mulia mempunyai makna zahir dan makna batin”. Alloh Yang
Maha Tinggi membukakan Quran kepada sepuluh lapis makna yang tersembunyi.
Setiap makna yang berikutnya lebih bermanfaat daripada yang sebelumnya kerana
ia semakin hampir dengan sumber yang sebenarnya. Dua belas nama kepunyaan Zat
Alloh adalah umpama dua belas mata air yang memancar dari batu apabila Nabi
Musa a.s menghentamkan batu itu dengan tongkatnya.“Dan (ingatlah) tatkala Musa
mintakan air bagi kaumnya, maka Kami berkata, ‘Pukullah batu itu dengan tingkat
kamu’. Lantas terpancar daripadanya dua belas mata air yang sesungguhnya setiap
golongan itu mengetahui tempat minumnya”. (Surah Baqarah, ayat 60).
Pengetahuan
zahir adalah umpama air hujan yang datang dan pergi sementara pengetahuan batin
umpama mata air yang tidak pernah kering.“Dan satu tanda untuk mereka, ialah
bumi yang mati (lalu) Kami hidupkannya dan Kami keluarkan daripadanya
biji-bijian, lalu mereka memakannya”. (Surah Yaa Sin, ayat 33).
Alloh jadikan
satu bijian, sebiji benih di langit. Benih itu menjadi kekuatan kepada kehaiwanan
di dalam diri manusia. Dijadikan-Nya juga sebiji benih di dalam alam roh-roh
(alam al-anfus); menjadi sumber kekuatan, makanan roh. Bijian itu dijiruskan
dengan air dari sumber hikmah. Nabi s.a.w bersabda, “Jika seseorang
menghabiskan empat puluh hari dalam keikhlasan dan kesucian sumber hikmah akan
memancar dari hatinya kepada lidahnya”.
Nikmat bagi ‘roh
sultan ialah kelazatan dan kecintaan yang dinikmatinya dengan menyaksikan
kenyataan keelokan, kesempurnaan dan kemurahan Alloh Yang Maha Tinggi. Firman
Alloh:“Dia telah diajar oleh yang bersangatan kekuatannya, yang berupa bagus,
lalu ia menjelma dengan sempurnanya padahal ia di pehak atas yang paling
tinggi. Kemudian ia mendekati rapat (kepadanya), maka adalah (rapatnya) itu
kadar dua busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu Ia wahyukan kepada
hamba-Nya apa yang Ia mahu wahyukan. Hatinya tidak mendusta apa yang dia
lihat”. (Surah Najmi, ayat 5 – 11).
Nabi s.a.w
menggambarkan suasana demikian dengan cara lain, “Yang beriman (yang
sejahtera) adalah cermin kepada yang beriman (yang sejahtera)”. Dalam ayat ini
yang sejahtera yang pertama ialah hati orang yang beriman yang sempurna,
sementara yang sejahtera kedua itu ialah yang memancar kepada hati orang yang
beriman itu, tidak lain daripada Alloh Yang Maha Tinggi sendiri. Alloh
menamakan Diri-Nya di dalam Quran sebagai Yang Mensejahterakan.“Dia jualah
Alloh yang tiada Tuhan melainkan Dia…Yang Mensejahterakan (Pemelihara iman),
Pemelihara segala-galanya”. (Surah Hasyr, ayat 23).
Kediaman ‘roh
sultan’ di akhirat ialah syurga Firdaus, syurga yang tinggi.
Setesen di mana
roh-roh berhenti adalah tempat rahsia yang Allah buatkan untuk Diri-Nya di
tengah-tengah hati, di mana Dia simpankan rahsia-Nya (Sirr) untuk disimpan
dengan selamat. Keadaan roh ini diceritakan oleh Alloh melalui pesuruh-Nya:“Insan
adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya”.
Urusannya ialah
kebenaran (hakikat) yang diperolehi dengan mencapai keesaan; mencapai keesaan
itulah tugasnya. Ia membawa yang banyak kepada kesatuan dengan cara terus
menerus menyebut nama-nama keesaan di dalam bahasa rahsia yang suci. Ia bukan
bahasa yang berbunyi di luar.“Dan jika engkau nyaringkan perkataan, maka
Sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi”. (Surah Ta
Ha, ayat 7)
Hanya Alloh
mendengar bahasa roh suci dan hanya Alloh mengetahui keadaannya.
Nikmat bagi roh
ini ialah penyaksian terhadap ciptaan Alloh yang pertama. Apa yang dilihatnya
ialah keindahan Alloh. Padanya terdapat penyaksian rahasia. Pandangan dan
pendengaran menjadi satu. Tidak ada perbandingan dan tidak ada persamaan
tentang apa yang disaksikanya. Dia menyaksikan sifat Alloh, keperkasaan dan
kekerasan-Nya sebagai esa dengan keindahan, kelembutan dan kemurahan-Nya.
Bila manusia
temui alamatnya, tempat kediamannya, bila dia temui akal asbab, pertimbangan
keduniaannya yang memandunya selama ini akan tunduk kepada Perintahnya; hatinya
akan rasa gentar bercampur hormat, lidahnya terkunci. Dia tidak berupaya
menceritakan keadaan tersebut kerana Alloh tidak menyerupai sesuatu.
Bila apa yang
diperkatakan di sini sampai ke telinga orang yang berilmu, mula-mula cubalah
memahami tahap pengetahuan sendiri. Tumpukan perhatian kepada kebenaran
(hakikat) mengenai perkara-perkara yang sudah diketahui sebelum mendongak ke
ufuk yang lebih tinggi, sebelum mencari peringkat baharu, semoga mereka
memperolehi pengetahuan tentang kehalusan perlaksanaan Ilahi. Semoga mereka
tidak menafikan apa yang sudah diperkatakan, tetapi sebaliknya mereka mencari
makrifat, kebijaksanaan untuk mencapai keesaan. Itulah yang sangat diperlukan.
Wallohu a'lam
Posting Komentar
Posting Komentar