Hazrat Abu
Hurairah r.a berkata, "Sekiranya kamu melihat keadaan kami dahulu,
sebahagian daripada kami tidak mempunyai makanan buat beberapa waktu walaupun
hanya untuk menegakkan tulang belakang. Disebabkan kelaparan, kadang-kadang
saya menekan dada ke bumi dan kadang-kadang saya meniarap dengan meletakkan
segala kekuatan ke perut dan kadang-kadang saya mengikat batu pada perut."
Pada suatu hari
saya duduk di jalan yang biasa dilalui oleh para sahabat yang besar. Hazrat Abu
Bakar r.a telah lalu. saya mula bertanya sesuatu kepada beliau dengan harapan
beliau akan terus melayan percakapan saya dan terus membawa saya ke rumah.
Kemudian seperti biasa beliau akan melayan saya dengan menghidangkan apa-apa
makanan yang ada di dalam rumah. Namun demikian, beliau tidak melakukan seperti
itu (mungkin karena tidak terlintas di hati beliau atau sebab telah diketahui
keadaan di rumahnya juga yang tidak mempunyai apa-apa).
Selepas itu
Hazrat 'Umar r.a pula yang lalu. Bersama beliau pun keadaan yang sama telah
berlaku. Kemudian Rasulullah s.a.w yang lalu. Melihatkan saya, Baginda s.a.w
pun tersenyum. Baginda s.a.w telah memahami keadaan dan tujuan saya. Baginda
s.a.w berkata, "Abu Hurairah, ikutlah bersama saya."
Lalu saya pun
terus bersama Baginda s.a.w. Baginda telah pulang ke rumah. Di dalam rumah
terdapat satu mangkuk susu yang telah dihantarkan kepada Baginda s.a.w. Baginda
bertanya. "Dari manakah susu ini?"
Telah dijawab,
"Dari tempat sekian untuk Rasulullah sebagai hadiah."
Kemudian Baginda
s.a.w bersabda, "Abu Hurairah, pergilah panggil ahlussuffah dan bawa
mereka ke mari."
Ahlussuffah dikira
sebagai tamu Islam. Mereka ialah orang-orang yang tidak mempunyai rumah dan
tidak mempunyai tempat tinggal dan tidak ada pengurusan makanan yang tetap
untuk mereka. Bilangan mereka tidak menentu mengikut masa. Namun, pada
masa kisah ini berlaku jumlah mereka ialah tujuh puluh orang. Menjadi kebiasaaan
Rasulullah s.a.w juga bahwa mereka dipasangkan berdua-dua atau berempat-empat
dan dijadikan tetamu kepada para sahabat yang agak kaya. Sekiranya terdapat
pemberian sedekah dari mana-mana maka akan dihantar kepada mereka tetapi
Baginda s.a.w sendiri tidak akan menyertai mereka. Sekiranya terdapat pemberian
hadiah dari mana-mana maka Rasulullah sendiri akan bersama mereka.
Rasulullah s.a.w
telah memerintah agar memanggil mereka. Hati saya terasa berat memikirkan
jumlah susu itu. Banyak mana sangat untuk membolehkan saya menjemput mereka
semua. Bagaimana mungkin untuk setiap orang? Sedangkan susu itu tidak
mencukupi untuk satu orang pun. Selepas mereka dijemput, sayalah yang akan
diperintahkan untuk memberi mereka minum. Oleh kerana itu, saya akan menjadi orang
terakhir minum dan sudah tentu susu itu tidak akan tinggal sedikit
pun. Namun demikian, apakah ada jalan lain selain mentaati Nabi s.a.w?
Saya telah pergi
dan menjemput kesemua mereka. Rasulullah s.a.w bersabda, "Nah ambil,
berilah mereka minum."
Saya mengambil
mangkuk itu dan menyerahkan kepada seorang demi seorang daripada mereka dan
setiap orang akan minum sepuas-puasnya kemudian barulah dikembalikan mangkuk
itu kepada saya. Demikianlah saya telah memberi minum kepada mereka semua dan
kesemua mereka telah minum dengan puas.
Kemudian
Rasulullah mengambil mangkuk tadi lalu memegang mangkuk itu dengan tangan
Baginda sambil memandang kepada saya dengan tersenyum. Baginda s.a.w berkata,
"Sekarang hanya tinggal kamu dan saya sahaja."
Saya menjawab,
"Begitulah."
Baginda
mengarahkan, "Ambil dan minumlah." Saya pun mula minum. Baginda s.a.w
mengarah lagi, "Minumlah lagi." Saya pun minum lagi. Akhirnya saya
berkata kepada Baginda "Sekarang saya tidak boleh minum lagi."
Selepas itu Rasulullah menghabiskan susu yang masih tinggal itu.
dokumen pemuda tqn suryalaya news
Petikan: Kitab
Fadhilat Amal (Kisah Para Sahabat)
Posting Komentar
Posting Komentar