Menu

TQN PP.Suryalaya

 

-Karomah Abah Anom
-Sumber dari : Ustaz Mohamad Ghouse Blog (Ikhwan Singapura)

( Foto: Almarhum Ustaz Osman Md Lutfi ditengah-tengah,
Hj Yahya di kirinya, Hj Said di kanannya )
Kisah ini saya perolehi dari Tuan Hj Yahya Hanafiah dan di sahkan oleh Ustaz Saifuddin Maulup -wakil Abah dari Negeri Sembilan.
Kisah ini berkait dengan kisah Almarhum Ustaz Osman Mohd Lutfi yang kini telah pulang kerahmatullah. Pada awal-awal waktu selepas Ustaz Osman Mohd Lutfi di lantik menjadi wakil Abah bagi kawasan semenanjung Malaysia, pernah terjadi satu kisah yang benar-benar menunjukkan karomah Abah sebagai guru yang sentiasa memantau gerak geri para muridnya.Ustaz Osman mendapat rekomendasi dari Almukaram Ustaz Hj Ali ( wakil Abah di Singapura ) untuk menjadi wakil Abah di Malaysia, dan diterima oleh Abah.

Ustaz Osman kerana semangatnya yang kuat untuk membebaskan Patani dari cengkaman Thai, beliau pernah menganggotai angkatan organisasi pembebasan bernama P.A.L.O ( Patani Liberation Organisation ).
Hidup beliau penuh dengan perjuangan, apatah lagi selepas menjadi murid Abah beliau makin gigih berjuang sehingga dalam senyapnya dan dalam masa singkat, banyak tempat-tempat zikir dan khataman telah berjaya di buka di Semenanjung Malaysia. Ini satu jasa beliau yang tidak dapat kita ingkari.

Pernah satu ketika Almukaram Ustaz Hj Ali dan beberapa ikhwan Singapur menziarahi Abah di Suryalaya, pada masa itu Ustaz Osman masih di Patani. Sebelum Ust Hj Ali pulang, Abah berpesan kepada Ustaz Ali agar dapat berikan sepucuk surat yang di titipkan kepada Ustaz Osman seberapa segera. Sebaik sahaja Ustaz Ali mendapat pesanan begitu dari Abah, ketika pulang ke Singapur, beliau langsung ke Patani dengan tujuan untuk berjumpa dengan Ustaz Osman dan menyerahkan surat dari Abah kepadanya. Selepas beberapa waktu mencari dan menunggu ( kerana Ustaz Osman bergerak-gerak dari satu tempat ke satu tempat kerana berdakwah ) akhirnya Ustaz Ali berjaya bertemu dengan Ustaz Osman dan menyerahkan surat tersebut. Dengan penuh amanah, Ustaz Osman buka surat tersebut segera di hadapan Ustaz Ali dan beliau mula berbincang dengan Ustaz Ali mengenai isi kandungi surat yang sangat ringkas itu yang berbunyi lebih kurang 'Hendaklah segera keluar dari Ruang Thai (= Wilayah/daerah Thailand,red.)'.

Ustaz Osman pada mulanya merasa berat dengan arahan tersebut memandang keluarganya semua masih berada di Patani, tetapi selepas meminta pandangan dari Almukaram Ustaz Hj Ali, beliau terus keluar dari Patani segera dan masuk ke Malaysia.

Almukaram Ustaz Hj Ali bersama para ikhwan yang mengikuti urusan ini, pulang ke Singapura selepas amanah Abah di tunaikan. Selang beberapa hari, kami semua di kejutkan oleh satu berita, khususnya Ustaz Osman sendiri yang paling terkejut dengan berita ini. Bahawa askar Thai telah menyerang habis-habisan semua anggota para pejuang P.A.LO di tembak mati dan satu orang pun tidak tertinggal, tapi semuanya di dalam ruang Thai, Ustaz Osman kerana menunaikan arahan Abah selepas minta pandangan dari Ustaz Hj Ali, beliau terselamat , malah keluarganya yang berada di Patani juga terselamat.

Seluruh penghidupan Almarhum Ustaz Osman ini, jelas ianya adalah gambaran penghidupan Saiyiduna Osman yang kurang bercakap, penyabar tapi kerja amalnya berjalan terus lancar dan berkesan. Ini adalah juga karomah Abah, bagaimana beliau asuh Almarhum Ustaz Osman seperti Saiyiduna Osman. Semoga Allah merahmati Almarhum Ustaz Osman Md Lutfi dan menjayakan dakwahnya hari ini.

Semuanya berlaku dengan inayah Allah swt yang bukan sahaja melindungi para kekasihnya , malah para kekasih dari kekasihnya juga dilindungi. Masya Allah, Semoga kita semua selamat dan menjadi murid Abah yang setia.

Posting Komentar

 
Top